Penanaman Pokok Avokado

Buah avakado varieti hitam kecokelatan.

Penanaman menggunakan biji benih atau keratan yang dipilih dari pokok induk yang dikenalpasti. Jarak pernanaman disyorkan ialah 6m x 6m atau lebih jauh bergantung kepada keadaan tanah dan kultivar. Lubang penanaman diisikan dengan baja organik dan MOP sebelum ditanam dengan anak benih. Jalankan penyiraman peringkat awal dan sebaiknya bubuh sungkupan. Tanaman selingan seperti pisang, jagung atau lain-lain tanaman kontan boleh ditanam di antara barisan. Kawal rumpai dan jalankan program cantasan pembentukkan. Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja buah NPK 12:12:17:2 dan baja organik juga diberikan ikut syor.

Pokok avocado dewasa mampu menghasilkan sebanyak 1,200 biji buah sepokok setahun. Purata hasil avocado yang di tanam secara komersil sebanyak 7 - 20 metrik tan sehektar setahun. Kawasan dusun avokado yang dijaga dengan baik di negara strategik mampu menghasilkan sehingga 20 mt sehektar setahun. Pokok avocado memang mempunyai masalah penghasilan berbuah dwimusim iaitu pengeluaran puncak dan pengeluaran kurang berlaku berselang tahun. Isu ini menyebabkan harga buah avocado di pasaran kadang-kadang terlalu tinggi dan terlalu murah akibat fenomena ini.

Jenis diketahui

Terdapat 4 spesies utama tanaman avokado iaitu

  • Guatemala (Persia nubigena var. guatemalanisi L Wims),
  • Mexica (Persea americana var drymifolia Blake),
  • Hindia Barat (Persea americana) dan
  • Kacukan antara ketiganya.

Terdapat dua lagi spesies yang berkait rapat dengan tanaman avokado iaitu Covo (Persea schiedeana Nees) dan juga Anay (Beilcshmiedia anay Konter m).

Antara kultivar yang terdapas ialah Avocado Hass, Avocado Gwen, Avocado Pinkerton, Avocado Reed (Kategori A). Bagi kultivar kategori B pula ialah kultivar Avocado Bacon, Avocado Ettinger, Avocado Fuerte, Avocado Sharwil dan Avocado Zutano. Kultivar lain yang ada termasuk Avocado Spinks dengan jenama Challange, Dickinson, Kist, Queen, Sharpless, Rey, Royal dan Tatt. Klon dan kultivar yang terdapat di Malaysia dibawa masuk dari Mexico tetapi banyak kultivar yang disesuaikan dengan keadaan di Indonesia dan Filipina.


Klon tanaman avokado

Di Malaysia terdapat tujuh varieti yang telah didaftarkan untuk tanaman avokado. Walau pun tanaman avocado di Malaysia tidak begitu popular tetapi sejak zaman kolonial terdapat usaha membangunkan tanaman ini yang di majukan di Stesyen-stesyen Pertanian. Pokok avokado Persia americana ialah spesies yang ditanam di Malaysia. Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftarkan beberapa klon avokado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di beberapa pusat pertanian sekitar Malaysia. Di pusat pertanian Tangkak, Ledang, Johor contohnya terdapat beberapa pokok yang masih dijaga dan mengeluarkan hasil sehingga kini. Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan.

1. Avokado Klon A7
Avokado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh pegawai pertanian pusat tersebut. Buah jenis ini berbentuk 'pear' dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau. Buah ini senang di kupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi.

2. Avokado Klon A10
Jenis avokado klon A10 yang di daftarkan pada 1956 di dapati di Lot 2835, Selama, Perak oleh Jabatan Pertanian. Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana.

3. Avocado Klon A16
Bagi buah klon avokado A16 yang didaftarkan pada 18.5.1957 ini ditanam di Pusat Pertanian, Selama, Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian. Buah mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok. Buah ini juga meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap.

4. Avokado Klon A25
Klon avokado A25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor. Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap.

5. Avokado Klon A27
Klon ini didaftarkan pada 10.6.1958 oleh pegawai di Jabatan Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Klon ini menghasilkan buah yang kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis dibahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A27 pula dikategorikan sederhana.

6. Avokado Klon A30
Avocado ini telah di daftarkan pada 1.6.1958 oleh pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor. Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. Isinya adalah tebal, halus serta berwarna 'cream'. Mutu buah adalah sangat baik.

Pengeluaran

Tanaman Avocado popular di beberapa negara dengan pengeluaran dunia sebanyak 3.2 juta metrik tan pada tahun 2010. Negara-negara membangun menyumbang sebanyak lebih 82% pengeluaran tersebut di kawasan Amerika Latin dan Caribean. Mexico merupakan pengeluar utama avokado dunia dengan lebih 1.1 juta mt setahun diikuti dengan Indonesia (263,000 mt/tahun), dan Amerika Syarikat (214 mt/tahun). Beberapa negara pengeluar utama lain seperti Colombia, Brazil, Chile, Peru, China dan Ethiopia. Kawasan Asia Pasifik dan Asia Tenggara terus menyumbang sebanyak lebih 11% pengeluaran avokado dunia melibatkan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.